
HULU SELANGOR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan tiada kesan minyak dan bau abnormal susulan kemalangan sebuah lori di Sungai Bernam, Kampung Serigala, Behrang, di sini, semalam.
Dalam satu kenyataan malam tadi, LUAS memaklumkan, keputusan itu berdasarkan kepada pemerhatian lanjut pihaknya di lokasi kejadian.
“Semakan bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga mendapati aliran air sungai di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik adalah normal,” katanya menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya.
Terdahulu, media melaporkan LUAS mengaktifkan Kod Kuning susulan tumpahan minyak dari sebuah lori di Sungai Bernam, Kampung Serigala.
Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari dengan tumpahan daripada kenderaan terbabit dikesan sepanjang 100 meter mengalir masuk ke sungai itu.
Mengulas lanjut, LUAS berkata, kerja-kerja pembaikan tebing sungai terbabit juga sudah dilaksanakan ketika proses mengeluarkan lori berkenan.
Katanya, pihaknya juga melaksanakan pemantauan statik di Sungai Bernam iaitu di lokasi hulu daripada muka sauk LRA Bernam River Headworks (BRH) bagi memastikan tiada baki kesan minyak yang terlepas dan bersiap siaga bagi tindakan pencegahan dan mitigasi segera.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan LUAS berada di lapangan memantau rapi sebarang risiko,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.