comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kompromi anggota, pegawai Imigresen terbabit penyeludupan migran

Hamzah (tengah) ketika majlis Ramah Mesra Calon Parlimen dan DUN Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di Sungai Bayor di sini hari. – FOTO: NSTP

LARUT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya didapati bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan migran.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan tegas termasuklah dibuang kerja boleh diambil terhadap mereka yang terbabit sekiranya didapati bersalah.

“Tidak kiralah berapa ramai sekalipun, kita akan tangkap dan gantikan mereka ini dengan pegawai-pegawai baharu.

“Jangan risau kalau kita tangkap ramai, ini bermakna kita selesaikan masalah yang busuk ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di Sungai Bayor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tangkapan terkini membabitkan kegiatan penyeludupan migran yang dikesan berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

Hamzah pada sama mengakui pembabitan anggota penguat kuasa sendiri dalam kegiatan jenayah sedemikian ibarat ‘kanser’ yang berisiko merosakkan agensi terbabit.

“Sekiranya kumpulan berkenaan terlampau banyak ia akan menyebabkan agensi itu akan bermasalah.

“Justeru, usaha awal perlu dilakukan bagi membendung jenayah berkenaan yang dikhuatiri akan menjejaskan agensi berkenaan kelak,” katanya.

Semalam media melaporkan, 14 individu terdiri dua ‘transporter’ warga tempatan dan 12 migran warga Indonesia ditahan di KIK di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Johor giat memburu pegawainya yang dipercayai mendalangi kegiatan terbabit. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini