comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kompromi terhadap tuntutan 40 peratus – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengesahkan secara mutlak bahawa ia tidak akan melepaskan hak asasi perlembagaan negeri berkaitan 40 peratus hasil bersih pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan fakta itu diperkuatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 apabila beliau mengiktiraf dan mengesahkan komitmen kerajaan persekutuan berhubung perkara itu.

Katanya, kerajaan persekutuan menyatakan komitmen untuk memperbaiki kadar pemberian khas berbanding apa yang dipersetujui sebelumnya dan akan menyegerakan rundingan bagi mendapatkan penyelesaian.

“Isu yang kritikal ini kini di bawah pemerhatian Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita akan terus mempertahankan hak perlembagaan Sabah berkaitan formula perkongsian hasil sedia ada dan ini mesti dihormati oleh kerajaan persekutuan.

“Ini termasuk tuntutan kerajaan negeri terhadap ‘tahun yang hilang’ di mana tiada semakan (pemberian khas) dibuat pada 1974 hingga baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, buat masa sekarang satu pengaturan sementara dibuat tanpa prejudis yang mana kerajaan menerima jumlah yang lebih banyak berbanding sebelum ini sehingga selesai rundingan di antara kerajaan negeri dan persekutuan untuk menuntut apa yang menjadi hak negeri ini.

“Sebenarnya, sehingga rundingan yang sedang dilaksanakan itu selesai, jumlah bayaran interim dinaikkan daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM260 juta pada Januari 2023 dan naik lagi kepada RM300 juta pada Julai 2023.

“Walaupun ini tidak mencapai apa yang dijangkakan, kita tetap komited dan konsisten untuk mendapatkan lebih banyak lagi (bayaran) daripada kerajaan persekutuan berbanding sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri menghormati hak Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk memulakan prosiding perundangan berhubung perkara itu.

“Kita mengiktiraf kepentingan peranan litigasi awam dalam mempromosi peraturan undang-undang ke arah pentadbiran keadilan yang adil dan saksama.

“Kerajaan negeri melihat inisiatif SLS secara positif yang bukan partisan dan politik dalam penerusan bersama pengaturan perlembagaan ketika Sabah membentuk Malaysia pada 1963.

“Saya tidak mahu menilai terlebih dahulu keputusan Mahkamah Rayuan tetapi saya berkongsi sentimen yang sama sebagai rakyat Sabah dan berharap sebarang keputusan akan menguntungkan negeri ini,” katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu mendengar rayuan Peguam Negara berhubung kebenaran semakan kehakiman berkaitan isu 40 peratus hasil Sabah yang dibuat Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022 selepas perkara itu difailkan SLS pada Jun tahun yang sama.

Prosiding itu mendapat perhatian ramai terutama pemimpin parti politik yang turut berkumpul di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, namun mahkamah menangguhkan keputusan rayuan berkenaan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 24 Mei ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini