comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Tiada laluan khas untuk pesakit COVID-19 mengundi’

Khairy hadir program ‘Selangkah Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia di UITM Puncak Alam hari ini. -Foto: NSTP

KUALA SELANGOR: Penyediaan ‘laluan khas’ bagi individu positif COVID-19 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak dapat dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah melakukan pelbagai peringkat perbincangan mengenainya.
.
“Kita tidak dapat menyediakan lorong khas untuk pesakit positif COVID-19 selepas mengambil kira kekurangan sumber, ruang dan tenaga kerja.

“Keputusan itu juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Safe Election seperti yang sudah diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,” katanya selepas program Selangkah Ke Menara Gading bersama Ikon Malaysia dan Townhall Ikon Malaysia di Dewan 500, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Amanah PRIHATIN, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kegelisahan pengundi berhubung kemungkinan terpaksa mengundi dengan individu yang dijangkiti virus itu.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pengundi positif COVID-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, selain perlu pulang segera selepas selesai mengundi.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini