comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada lanjutan PLKS pekerja asing selepas 15 Jun – KDN

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR: Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing untuk tiga subsektor iaitu tekstil, tukang gunting dan tukang emas dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 15 Jun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, selepas tarikh itu, tiada lanjutan PLKS pekerja asing dibenarkan.

Katanya, ia sehinggalah hasil kajian dan sesi libat urus dengan peserta industri subsektor ini dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing.

“Sebagaimana sedia maklum, penggajian pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan agensi kawal selia.

“Namun demikian, bagi pelaksanaan dasar penggajian pekerja asing, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menimbang kegusaran majikan yang terkesan dengan keputusan penamatan PLKS ini dengan memberi masa tambahan tiga bulan sehingga 15 Jun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau terdahulu memaklumkan, penggajian pekerja asing bagi ketiga-tiga subsektor itu telah dibekukan sejak 2009.

Pada 2019, ia telah dikategorikan sebagai sektor tidak dibenarkan untuk penggajian pekerja asing dan pemegang PLKS hanya dibenarkan bekerja hingga 15 Mac 2023.

Loading...
Terkini