comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada laporan baharu penjualan semula peranti siswa – Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

SUNGAI BULOH: Tiada laporan baharu yang diterima berhubung penjualan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia setakat ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun beliau berkata pemantauan akan terus dilaksanakan kepada pelajar yang telah menerima peranti itu.

“Kita tahu sekiranya peranti tersebut disalah guna atau tidak berada di kampus dan pergi merata-rata… mereka akan dapat dikesan kerana kita dapat memantau keberadaan (peranti) sekiranya berada di luar kawasan (kampus).

“Contohnya semasa musim belajar, peranti tersebut hendaklah berada dalam kampus,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan peranti komuniti kepada wakil-wakil komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Taman Saujana Utama di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 300,000 peranti yang ada, hanya 14 kes diterima membabitkan penjualan peranti itu dengan sebilangan kecil daripada mereka telah membatalkan niat untuk berbuat demikian setelah diberikan nasihat.

Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa peranti berkenaan bermasalah, Annuar berkata setakat ini tiada laporan sedemikian diterima.

Malah beliau berkata bekalan peranti terbaharu adalah yang terbaik di pasaran serta berkualiti.

Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata bekalan telur di seluruh negara dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata penternak ayam telah dinasihatkan untuk meningkatkan pengeluaran telur berbanding menjual ayam susulan pengumuman subsidi baharu yang dijangka dapat membantu mereka supaya tidak mengalami kerugian.

“Kita akan berusaha memastikan bekalan telur sentiasa ada dan harga tidak meningkat terutama ketika musim perayaan, banjir dan sebagainya.

“Pemain industri juga telah dinasihatkan agar tidak sembelih ayam terlalu awal supaya ia dapat bertelur selain merayu kepada sesetengah pihak agar tidak menyeludup telur ke negara jiran,” katanya.

Pada 1 November lepas, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C sebanyak dua sen menyebabkan kadar subsidi telur ayam di peringkat ladang berubah daripada lapan sen sebiji kepada 10 sen sebiji supaya harga kawalan runcit kekal bagi telur gred A, B dan C. – BERNAMA

Loading...
Terkini