comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada laporan diterima KPDNHEP berkaitan harga telur

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menerima sebarang laporan berkaitan penjualan telur ayam mencecah RM17 sepapan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata sekiranya terdapat peniaga menjual telur ayam gred kawalan melebihi harga yang sepatunya, beliau meminta supaya aduan dibuat kepada pihaknya agar siasatan boleh dijalankan.

“Kita mengawal harga bagi telur ayam gred A, B dan C iaitu yang dijual dengan harga 45 sen sebiji, 43 sen dan 41 sen, manakala harga bagi telur ayam jenis istimewa atau Omega, ia bukan dibawah kawalan.

“Setakat ini, tiada laporan yang diterima berhubung dengan isu penjualan telur ayam RM17 sepapan, jika ada aduan kita akan menyiasat seperti biasa,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bekalan telur ayam di beberapa negeri kembali stabil, namun harganya meningkat sehingga RM17 sepapan bagi telur ayam gred A.

Malah kenaikan harga telur ayam itu juga didakwa berpunca daripada pembekal yang mengenakan caj tambahan iaitu dua sen untuk setiap biji telur sehingga memaksa harga jualannya dinaikkan untuk semua jenis gred.

Mengulas lanjut, Azman berkata dari segi penguatkuasaan terhadap harga telur ayam sejak 5 Februari lalu sehingga semalam, sebanyak 153 kes yang menjual telur ayam melebihi harga maksimum sudah diambil tindakan.

Loading...
Terkini