Tumpuan :
Nasional

Tiada Parlimen baharu di Sabah, Sarawak sebelum PRU16

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (empat kanan) mendengar penerangan Ketua Pegawai Operasi, Persatuan Takaful Malaysia, Hasri Hamidan pada Program Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masuk Kampung di Dewan Kampung Samariang Batu, Kuching, hari ini. – FOTO: NSTP

KUCHING: Pengwujudan Parlimen baharu Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) meskipun jika penambahan satu pertiga kerusi di kedua-dua negeri itu di Dewan Rakyat diluluskan dalam masa terdekat.

Mengesahkan perkembangan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini berikutan isu penambahan kerusi di dua wilayah itu masih dalam perbincangan antara Peguam Negara, Peguam Besar Sarawak dan Sabah.

Katanya, ketiga-tiga penasihat undang-undang kerajaan itu hanya akan menyerahkan laporan perbincangan kepada Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada suku pertama tahun depan.

“Kita sudah menyerahkan kepada ketiga-tiga peguam kerajaan untuk mengadakan perundingan mengenai tafsiran perundangan (berhubung penambahan kerusi) dan bagaimana hendak memuktamadkan kajian yang sudah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Memang tidak sempat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang kerana banyak proses perlu dilalui seperti urusan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), mewartakannya dan membawa ke Parlimen untuk pindaan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masuk Kampung di Dewan Kampung Samariang Batu, di sini, hari ini.

Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan MA63, wilayah Sarawak, Sabah dan Singapura mempunyai gabungan 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, jumlah itu tidak diselaraskan.

Pada September 2022, Majlis Khas Putrajaya mengenai Perjanjian Malaysia bersetuju untuk menangani perkara ini.

Menurut Fadillah lagi, jika penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak diluluskan, kerajaan kedua-dua negeri itu juga akan memuktamadkan penambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di wilayah masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini