comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada parti terima majoriti mudah, Agong titah bertemu PH, PN

Istana Negara. Foto: NSTP

Oleh Buletin TV3

PETALING JAYA: Tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mengadap Tuanku pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara.

“Lanjutan daripada penerimaan pencalonan nama Perdana Menteri fersebut, proses pengesahan calon Perdana Menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kendatipun begitu, setelah dipersembahkan hail pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara yang tersebut di atas.

“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” katanya.

Beliau berkata, Tuanku bertitah menyeru dan menasihati rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” titah Tuanku.

 

 

Loading...
Terkini