comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada pegawai SPRM hubungi Wan Saiful – Azam

Tan Sri Azam Baki ditemui media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan ada pegawainya menghubungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung pendedahannya di Parlimen semalam bahawa beliau diugut oleh beberapa individu untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah menyemak dengan pegawai saya tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau.Tidak ada. Mungkin sesiapa pun boleh hubungi beliau yang menyatakan beliau dari SPRM,” katanya kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara, hari ini.

Tan Sri Azam Baki hadiri Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara

Tan Sri Azam berkata, adalah lebih penting apabila seseorang individu ditawarkan suapan atau rasuah, sepatutnya Datuk Wan Saiful seharusnya datang ke pejabat SPRM atau balai polis terdekat untuk membuat laporan.

“Dalam hal ini adalah lebih molek beliau datang kerana beliau telah menyebutnya di Parlimen, ini bukan satu bentuk spekulasi, tetapi beliau sendiri sebutnya di Parlimen. Apabila beliau telah menyebut perkara ini di dewan yang mulia, jadi adalah menjadi tanggungjawab beliau sebagai penggubal undang-undang di negara ini tampil ke hadapanlah. Kami mahu tahu juga butir lanjut yang disebut dalam perbualan telefon orang itu” tambahnya.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, selepas berkali-kali dihubungi individu yang mengugutnya itu, beliau ‘akur’ untuk mengadakan pertemuan, bermula pada 17 Januari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang, ibu negara.

Beliau juga menulis di media sosialnya bahawa tidak sampai satu jam selepas beliau membuat pendedahan itu, beliau telah mendapat mesej daripada pegawai SPRM yang memintanya menghubungi SPRM.

“Siasatan telus akan dijalankan terhadap sesiapa pun, seperti mana tadi janji Perdana Menteri, SPRM kita tidak memilih sesiapa pun sekiranya melakukan kesalahan walaupun melibatkan mana-mana anggota pentadbiran kerajaan kita akan tetap siasat,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini