comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada pekeliling adakan majlis graduasi tadika di hotel atau pusat konvensyen

KOTA SAMARAHAN: Tiada sebarangan arahan atau pekeliling daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) atau daripada Jabatan kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang menetapkan majlis graduasi tadika jabatan itu  perlu dilangsung sehingga ke hotel atau pusat konvensyen.

Sebaliknya, majlis berkenaan masih boleh dilangsungkan secara sederhana dan setempat sesuai dengan jumlah kehadiran dalam majlis yang dianjurkan oleh tadika terbabit.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagaimanapun perkara terbabit perlu diberikan perhatian agar majlis berkenaan tidak menjadi beban kepada ibu bapa terlibat.

Katanya, penganjuran majlis graduasi terbabit adalah inisiatif dan hasil perbincangan bersama antara jawatankuasa pengurusan tadika terlibat denggan ibu bapa murid.

“Bagi penganjuran program sebegini, arahan memang telah dikeluarkan tetapi ia  terpulang dengan inisatif jawatankuasa tadika berkenaan.

“Namun dalam hal  ini kemungkinan terdapat satu dua yang tidak bersetuju (dengan lokasi majlis) namun yang bersetuju lebih banyak  daripada yang tidak bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) 2024 yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kota Samarahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 422 majlis graduasi tadika KEMAS dilaksanakan di seluruh negara dengan 37 daripadanya di Sarawak.

Katanya, arahan serta pekeliling dari aspek perlaksanaan majlis graduasi seharusnya diadakan secara sederhana dan tidak membebankan ibu bapa murid.

“Arahan ini adalah jelas memandangkan tidak ada sebarang peruntukan khusus disediakan di peringkat jabatan sendiri bagi tujuan untuk melangsungkan majlis terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, isu majlis graduasi tadika di hotel atau pusat konvensyen itu adalah isu kecil yang berlaku disebabkan oleh situasi tertentu termasuk kesesuaian lokasi setempat.

Pun begitu, ia perlu diberikan perhatian agar  tidak menjadi beban kepada ibu bapa serta KEMAS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini