comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada perancangan bina laluan khas motosikal di lebuh raya yang sedang beroperasi

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Tiada perancangan untuk membina laluan khas motosikal di lebuh raya yang sedang beroperasi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia kerana perkara tersebut melibatkan kos tambahan yang tinggi kepada kerajaan, kerana skop berkenaan tiada dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

“Walaubagaimanapun, kerajaan akan meneliti perkara ini dalam rundingan cadangan projek lebuh raya baharu pada masa akan datang. Namun ia juga tertakluk kepada faktor kewangan dan kesesuaian jajaran.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Tambahnya, kementeriannya telah dan akan melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya bagi meningkatkan aspek keselematan penunggang motosikal.

“Menerusi program inisiatif Malaysia Madani, KKR sedang membina dan menambah baik tempat teduhan motosikal baharu di sepanjang lebuh raya.”

“Inisiatif ini adalah tambahan kepada 353 tempat teduhan motosikal sedia ada. Menerusi program ini, sebanyak 119 lokasi baharu telah dikenal pasti untuk dibina tempat teduhan motosikal.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 14 lokasi akan dibina jenis stand alone (struktur tunggal) dan 105 lagi akan dibina di bahagian bawah jambatan.”

“Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 40 lokasi akan disiapkan secara berperingkat pada tahun ini, manakala 79 dijadual siap pada tahun 2024.”

“Sehingga November tahun ini, 36 tempat teduhan telah siap dibina dan baki masih dalam peringkat pembinaan. “

Malah katanya, kempen keselamatan melibatkan penunggang motosikal sentiasa diadakan dari semasa ke semasa terutama menjelang hari perayaan, bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemantauan, pemanduan berhemah dan aspek keselamatan di jalan raya.

“Selain itu, audit keselamatan jalan raya juga dijalankan bagi mengenal pasti sebarang risiko keselamatan dan tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan kepada cadangan juruaudit keselamatan jalan raya yang bertauliah,” ujarnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini