Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak membincangkan mengenai rombakan Kabinet.
Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dalam sidang media, di sini hari ini.
“(Rombakan Kabinet) tidak bincangkan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan spekulasi rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan semakin bertiup kencang dengan Anwar dijangka melakukannya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang pada 7 Oktober depan.
Malah ada portal dalam talian yang memetik sumber di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melaporkan, rombakan Kabinet yang akan datang, bakal menyaksikan pemimpin dari peringkat negeri dinaikkan ke jawatan persekutuan.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yakin Perdana Menteri mempunyai pelan terbaik dalam menstruktur semula pentadbiran kerajaan di sebalik desas-desus rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang bertujuan menjaga kepentingan awam serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penyebaran berita palsu.
“Sebelum ini saya dan Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) ada menyebut bahawa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sedang disemak semula tetapi belum lagi, kita bersedia untuk bawa ke Parlimen kerana proses libat urus sedang berjalan,” katanya.
Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac 2018 sebelum diluluskan pada 2 April tahun sama, dan dimansuhkan pada 19 Disember 2019.
Mengenai sidang media hari ini, Fahmi mengumumkan penerbitan segmen khas ‘Biar Betul’ yang bermula 1 Oktober ini di saluran berita RTM.
Segmen yang akan disiarkan setiap hari itu diwujudkan sebagai usaha menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat.
“Pihak Kementerian Komunikasi dan Digital, saya, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha ada beberapa perancangan termasuk perbincangan kami dengan penyedia platform seperti TikTok, Meta, Telegram dan lain-lain termasuk dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), antara usaha pastikan bahan bersifat fitnah dan tidak betul dikekang daripada tular,” katanya.