comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada projek ‘sakit’ di Melaka dalam tempoh 2 tahun – Ketua Menteri

FOTO: KM Melaka

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Tiada sebarang projek  dikategorikan sebagai ‘sakit’ sepanjang pelaksanaannya di seluruh Melaka dalam tempoh dua tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri berjaya melaksanakan semua 2,727 projek membabitkan peruntukan RM353 juta dalam tempoh antara 2020 hingga 2022.

“Prestasi perbelanjaan pula merekodkan peningkatan konsisten mencapai 85 peratus ke atas selama tiga tahun berturut-turut.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila tiada projek sakit yang direkodkan sepanjang tahun 2020 hingga 2022,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Penilaian Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2022 di Ames Hotel, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), V.P. Shanmugam; Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh.

Menurut Sulaiman, melalui dasar ‘outcome based development’ inisiatif telah dilaksanakan bagi melakukan penilaian ke atas projek pembangunan negeri.

“Ia bagi memastikan projek pembangunan di Melaka benar-benar memberi impak dan ‘outcome’ kepada kumpulan sasar.

“Hasilnya, menerusi Bajet 2021 Negeri Melaka, peruntukan sektor pertanian telah meningkat sebanyak RM1.9 juta manakala pada Bajet 2022 Negeri Melaka, peningkatan peruntukan pembangunan sebanyak RM5 juta telah diberikan,” katanya.

Loading...
Terkini