comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiada rakyat Malaysia jadi askar upahan Rusia – KPN

KUALA LUMPUR: Tiada maklumat pembabitan rakyat Malaysia yang didakwa menjadi askar upahan di mana-mana negara termasuk bersama tentera Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, berdasarkan semakan dilakukan Cawangan Khas, Bukit Aman dengan rakan sejawat di negara Eropah, tidak menerima maklumat seperti yang dilaporkan.

“Askar upahan ini tidak boleh dianggap sebagai pengganas memandangkan mereka ini berkemungkinan mewakili sesebuah negara dan bukan organisasi yang berteraskan keganasan.

“Tiada maklumat, rakyat kita diupah jadi tentera di mana-mana negara seperti yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini,

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat negara ini yang didapati menjadi askar upahan atau pengganas untuk berperang di mana-mana negara bergolak.

Beliau berkata, tindakan tegas boleh diambil mengikut Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) terhadap mana-mana rakyat negara ini yang kita kesan terbabit dalam aktiviti keganasan.

“Kita (PDRM) akan sentiasa bertukar maklumat dengan pihak kerajaan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jika ada rakyat kita dikesan jadi pengganas atau askar upahan, pasport mereka akan dibatalkan.

“Ingin ditegaskan, Malaysia sama sekali tidak menyokong askar upahan atau membenarkan mana-mana rakyat kita pergi ke kawasan pergolakan untuk berperang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, satu laporan tentera Ukraine mendakwa terdapat rakyat Malaysia antara askar upahan yang berperang bersama tentera Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Tentera Rusia dan sekutunya kini menguasai sebahagian besar Donetsk sejak 2014, selepas protes demokrasi besar-besaran di negara itu membawa kepada konflik perang saudara.

Dakwa notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, Rusia terus mengambil tentera upahan dari beberapa negara di seluruh dunia untuk meneruskan dasar keganasan mereka.

“Askar upahan dari Malaysia ditemani penterjemah, termasuk bekas anggota kumpulan Wagner dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia.

“Pejuang itu ketika ini sedang menjalani latihan. Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan memberi amaran sesiapa bersama Rusia menentang Ukraine adalah sasaran ketenteraan,” kata laporan itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini