KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas berani mati di Quetta, Wilayah Balochistan, Pakistan, semalam yang mengakibatkan 24 kematian dan kecederaan kepada orang awam.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdiri teguh bersama Kerajaan Pakistan dan rakyatnya pada masa sukar ini.
Menurutnya, bagaimanapun tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat serangan berkenaan.
“Malaysia sentiasa berpendirian teguh bahawa keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya, adalah ancaman bukan sahaja kepada kestabilan negara, tetapi juga adalah cabaran kepada masyarakat antarabangsa secara amnya.
“Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa memerangi keganasan dan menggalakkan kestabilan serantau,” katanya.
Kata kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sentiasa memantau perkembangan situasi semasa dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian itu.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi,” katanya.
Rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad di alamat Street No. 17, Sector G-5, Diplomatic Enclave, Islamabad, nombor telefon +92 51 207 2900 ext. 123 atau 125 dan emel, [email protected].
Bagi Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi boleh dihubungi melalui alamat 7A Main Khayaban-e-Shamsheer 75500, DHA 5, Karachi, di talian +92 21 352 95618 atau +92 21 352 95619 dan emel [email protected].
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.