comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada rakyat Malaysia terlibat tragedi bom di Iran

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia setakat ini terlibat dalam tragedi pengeboman di kawasan Perkuburan Kerman di bandar Kerman, Iran semalam yang mengorbankan hampir 100 orang.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pengeboman di kawasan Perkuburan Kerman di bandar Kerman pada 3 Januari 2024, yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 95 nyawa dan ratusan cedera.

“Malaysia dengan tegas menolak sebarang tindakan ganas dan aktiviti keganasan dan menyeru agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, dua bom berturut-turut meletup mengenai orang ramai yang sedang berhimpun di kawasan terbuka bagi memperingati ulang tahun pembunuhan Jeneral Panglima Qasem Soleimani.

Letupan itu dianggap sebagai ‘serangan pengganas’ yang berlaku pada waktu ketegangan memuncak di Asia Barat, sehari selepas pemimpin nombor dua Hamas, Saleh al-Aruri iaitu sekutu Iran terbunuh dalam serangan dron di pinggir bandar selatan Beirut, Lubnan.

Letupan itu berlaku berhampiran Masjid Saheb al-Zaman di Kerman, kampung halaman Soleimani iaitu lokasi beliau dikebumikan, ketika penyokong berkumpul untuk menandakan ulang tahun keempat pembunuhannya dalam serangan dron Amerika Syarikat di luar lapangan terbang Baghdad.

Mengulas lanjut, jelas Wisma Putra, Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan serta kepada kerajaan dan rakyat Iran.

Rakyat Malaysia di republik tersebut khususnya yang berada di bandar Kerman dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh PBT.

Mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran untuk sebarang bantuan sama ada di alamat No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb; menghubungi talian +98 21 880724444 atau +98 21 88078606 atau menerusi e-mel di [email protected] atau [email protected].

Loading...
Terkini