comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada siasatan digugurkan atau dihentikan berhubung dana judi PRU – Azalina

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman. Foto : JAPEN

Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menegaskan tiada siasatan digugurkan atau dihentikan berhubung sumbangan dana judi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 yang diperoleh parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin menegaskan bahawa jawapan yang diberikan bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan.”

Menerusi satu kenyataan, Azalina memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

Walau bagaimanapun, Azalina yang juga ahli parlimen Pengerang menjelaskan SPRM hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

Dalam hal ini, SPRM sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan-siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan kepada maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa.

Beliau turut menyatakan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang telah diberikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung perkara ini mahupun membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loading...
Terkini