SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan (KKM) mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang gejala buli dalam kalangan pengamal perubatan, terutama membabitkan doktor.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam nada tegas mahu mana-mana kakitangan KKM yang pernah mengalami atau tahu mengenai insiden buli dalam kalangan warga kementerian itu untuk melaporkan insiden terbabit.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga menegaskan, kementerian itu memiliki kemudahan pelaporan bagi sebarang insiden buli dengan aduan boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA).
Beliau turut memberi jaminan maklumat peribadi mangsa mahupun ‘whistle-blower’ atau pemberi maklumat bagi sebarang insiden buli dalam kalangan warga KKM akan sentiasa terjamin dan tidak didedahkan kepada umum.
“Saya sangat tidak boleh toleransi hal buli dan mungkin ada yang masih ingat ketika penggal pertama saya dilantik sebagai Menteri Kesihatan, sebelum ini.
“Ketika itu saya mengambil tindakan sangat tegas dan memecat seorang ketua jabatan selepas melakukan siasatan dalam dan penubuhan jawatankuasa bebas.
“Saya memang tidak akan bertoleransi dengan gejala buli. Apa-apa pun kes buli, sama ada di Sabah atau dalam kalangan doktor di negara ini masih dalam pemerhatian KKM. Saya mahu mana-mana individu yang mengalami buli dalam apa-apa bentuk sekali pun sepanjang kerjaya mereka, tolonglah laporkan (kepada pihak berkuasa),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan pelancaran imej korporat serta alumni Institut Latihan KKM (ILKKM) sempena sambutan Ulang Tahun Ke-20 ILKKM Sungai Buloh dekat sini.
BH minggu lalu melaporkan, beberapa doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal apabila dihambur perkataan kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.
Malah, mereka sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional petugas kesihatan terbabit diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.
Pembuli pula bagaikan mempunyai kekebalan apabila tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka, selepas aduan kepada pihak atasan, bahkan ketua jabatan memberi amaran akan menukarkan doktor yang mengadu dibuli ke unit lain.
Sementara itu, Dr Dzulkefly ketika mengulas insiden buli dalam kalangan doktor di Sabah berkata, pihaknya ketika ini akan menjalankan siasatan lebih terperinci, selain memaklumkan keperluan menubuhkan jawatankuasa bebas akan diputuskan kelak.
Beliau bagaimanapun, tidak memperincikan status perkhidmatan membabitkan doktor yang dibuli serta pembuli, dikatakan berlaku di hospital kerajaan di Sabah.
“Kita akan teruskan dengan siasatan lebih terperinci dan keperluan menubuhkan jawatankuasa bebas akan dibuat segera pada mesyuarat pasca mesyuarat Kabinet minggu depan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.