comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada unsur kecuaian dalam insiden gangguan elekrik tahun lepas

Tangkap layar dari video yang tular mengenai kejadian ‘flashover’ atau percikan api di PMU Yong Peng di Johor pada 27 Julai tahun lalu

PUTRAJAYA: Tiada unsur kecuaian dikenal pasti menjadi punca kepada insiden gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada 27 Julai tahun lepas (2022), yang berpunca daripada kejadian pelantikan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan ia merupakan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan Suruhanjaya Tenaga (ST), melibatkan pakar teknikal bebas bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai insiden itu.

PMU Yong Peng North mula beroperasi sejak 1987 dan merupakan titik penting dalam sistem grid yang menghubungkan Wilayah Selatan dengan Wilayah Tengah dan Utara.

Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada 27 Julai tahun lepas, dan antara kawasan yang terlibat ialah Petaling Jaya, Cheras, Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor, Johor dan Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, NRECC berkata insiden itu berlaku berpunca daripada kerosakan peralatan pengasing di PMU Yong Peng North, yang telah menyebabkan berlakunya pancaran arka dan menyambar ke talian bersebelahan dan mengakibatkan PMU Yong Peng North terpelantik.

“Insiden ini telah menyebabkan sistem grid terpisah kepada dua wilayah dengan frekuensi operasi yang berbeza, iaitu 48.9Hz di Wilayah Tengah dan 51Hz di Wilayah Selatan,” menurut kenyataan NRECC.

Kenyataan itu menyatakan bagi menstabilkan frekuensi grid di Wilayah Tengah, mekanisme Skim Perlucutan Beban Automatik (UFLS) telah diaktifkan, bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya dengan kehilangan beban sebanyak 2,269MW yang melibatkan sebanyak 65 PMU.

“Siasatan mendapati kerja-kerja penyelenggaraan di PMU Yong Peng North telah dilaksanakan mengikut jadual yang sepatutnya dan tiada unsur-unsur kecuaian dikenal pasti menjadi punca kepada insiden tersebut,” katanya.

Sebagai langkah segera, NRECC dalam kenyataan itu menyatakan Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mengambil tindakan pantas, dengan menukar semua pengasing di PMU Yong Peng North.

Kenyataan NRECC itu menyatakan siasatan turut meneliti dan menentukan sama ada kejadian itu mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) TNB, kerana ia akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau pun tidak.

“Berdasarkan semakan GSL, didapati bahawa proses pemulihan bekalan tersebut telah diselesaikan oleh pihak TNB dalam tempoh masa yang dibenarkan – di mana bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh dua jam 23 minit.

“Justeru, tiada penalti dalam bentuk rebat untuk pengguna dikenakan kepada TNB,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini