comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tidak adil hanya tujuh bulan nilai prestasi kerajaan – Zahid

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan wajar diberi masa secukupnya untuk membuktikan prestasi sebenarnya dalam mengurus tadbir negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tempoh tujuh bulan untuk menilai prestasi sebenar kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak adil.

“Peluang mesti diberikan kepada Kerajaan Perpaduan untuk memperlihatkan prestasinya kerana kerajaan yang baru tujuh bulan ini tidak adil dilemparkan dengan soal prestasi.

“Semua harus tahu bahawa kesan daripada limpahan pengumuman dan dana yang disediakan melalui pembentangan Belanjawan 2023 umpamanya, hanya akan terlihat apabila pelaksanaannya dilakukan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil – Citra Budaya Dan Peradaban Bangsa Malaysia di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kaji selidik Endeavour-MGC, yang mendapati 52 peratus responden Melayu dan 46 peratus responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan menangani isu inflasi serta kos sara hidup.

Tinjauan pendapat awam yang dijalankan Endeavour-MGC membabitkan 1,068 responden semua kaum dan 791 responden Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.

Tinjauan pendapat awam itu dijalankan dari 4 hingga 18 April lalu, dengan margin kesilapan keputusan adalah antara tiga hingga 3.5 peratus berdasarkan bilangan pemilih berdaftar di Semenanjung, setakat Jun 2022.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan juga tidak mengambil sikap popular dengan mahu menyegerakan segala agihan bantuan hanya untuk meraih sokongan rakyat, sebaliknya turut menekankan soal tadbir urus dan tata kelola kewangan yang baik daripada kerajaan.

“Kita perlu mempunyai tata kelola yang baik dalam pengurusan dana dan wang rakyat ini. Maka ketelusan menjadi perkara utama yang harus kita depani.

“Kita tak harus berkompromi untuk menyegerakan pelaksanaan semua rancangan yang dilakukan. Kita tak boleh kompromi soal rasuah, ketirisan penyelewengan dan salah guna kuasa dan ini mesti dilakukan dengan penuh hati-hati serta progresif,” katanya.

Loading...
Terkini