comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak benar tiada pemohonan, luluskan pembangunan KXP – MB Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Kementerian Pengangkutan diminta memberikan kelulusan bagi pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bagi membolehkan kerajaan negeri menyegerakan urusan pengambilan tanah seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu adalah langkah susulan dituntut kerajaan negeri lanjutan daripada beberapa sesi libat urus dijalankan kedua-dua pihak sejak 2013.

“Adalah tidak benar untuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendakwa kita tidak pernah membuat permohonan. Libat urus mengenai projek KXP ini sudah dijalankan sejak tahun 2013 bersama pelbagai agensi kerajaan persekutuan dengan yang terkini pada Januari lalu.”

“Saya nasihatkan Menteri Pengangkutan dapat merujuk perkara ini dengan pegawai yang berkenaan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri dalam menjayakan projek ini.”

Pembangunan KXP katanya, perlu dinilai daripada sudut ekonomi dan bukan kepentingan politik mana-mana pihak.

Justeru, beliau berharap agar pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dilaksanakan segera bagi memperincikan perkara berkaitan pembangunan Kedah Aerotropolis dan KXP.

“Tanpa penerangan ini, maka ianya akan terus dilihat sebagai saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Hakikatnya, KXP akan menumpukan kepada sektor kargo selain penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).”

Menteri Besar berkata demikian dalam sidang media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Terdahulu, ketika sesi penggulungan beliau memperincikan kronologi projek Kedah Aerotropolis yang bermula pada tahun 2013 melibatkan beberapa sesi libat urus melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan.

Kertas Cadangan Pembangunan Kedah Aerotropolis juga telah diserah kepada Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh kerajaan negeri pada 23 November 2021

Loading...
Terkini