comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak beri laluan ketika melalui jalan sempit punca gaduh di Kota Belud

Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh dengan menggunakan parang dan besi di Kota Belud.

KOTA BELUD: Insiden dua lelaki bergaduh di kawasan laluan belakang parkir berhampiran Jalan Tamu Minggu, di sini dipercayai berpunca daripada provokasi kedua-dua mereka selepas masing-masing tidak memberi laluan semasa melalui jalan sempit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata siasatan pihaknya mendapat pergaduhan itu berlaku jam 11.30 pagi semalam.

Video pergaduhan berdurasi 42 saat itu pantas menjadi tular selepas dikongsikan di laman sosial Facebook.

Ia menunjukkan dua lelaki bersenjatakan parang dan besi sedang bergaduh.

“Kejadian berlaku berpunca daripada provokasi kedua-dua pihak yang masing-masing tidak memberi laluan semasa melalui jalan sempit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.

Mana-mana saksi awam yang melihat kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk membantu siasatan atau boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Izhafizan Haron di talian 014-6318003.

Menurut Shahrudin, pihak polis ingin menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini yang boleh mengganggu siasatan.

Beberapa laporan awal menyebut kedua-dua lelaki itu mempunyai ikatan persaudaraan dan telah pun berdamai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini