comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak dibenar guna pembesar suara semasa hari penamaan calon

Foto hiasan.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik tidak dibenarkan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah pada Sabtu ini.

Larangan itu terpakai untuk apa sahaja acara termasuklah penggunaan jenis kenderaan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kenyataan media SPR.

“Orang awam dan penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan Pusat Penamaan Calon (PPC) yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada hari penamaan calon, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 (PPC) yang berkenaan.

“Kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka.

Kenyataan media SPR.

“Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC,” katanya.

Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR turut menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum hari penamaan calon.

Selain itu, bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.

Bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik turut diingatkan supaya mengemukakan
surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya.

Loading...
Terkini