comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak Logik Adakan PRU-15 Ketika Banjir

Foto: Harian Metro

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bersedia menghadapi Monsun Timur Laut dan Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya bersedia untuk menghadapi dua kemungkinan itu.

Menurutnya, tidak logik sekiranya PRU15 diadakan ketika negara berdepan banjir.

Katanya, tiada siapa yang tahu bila bencana itu akan berlaku meskipun ramalan dibuat Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Saya yakin PRU-15 tentunya tidak diadakan ketika berlaku banjir, cuma kita tahu bila berlaku banjir, mana-mana parti pun tentulah tidak logik untuk adakan pilihan raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan semalam memberi bayangan PRU-15 tidak akan diadakan ketika negara berhadapan musim banjir.

Reezal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, sebagai ahli parti beliau bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Katanya, beliau akan mempersiapkan JBPM untuk berdepan dengan bencana sebagai keutamaan seandainya berlaku banjir.
“Kita kena ingat tidak mungkin buat pilihan raya dalam keadaan banjir kerana Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November sehingga Mac 2023,”katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini