
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Tidak semua maklumat boleh dikongsi kepada rakyat kerana status sensitivitinya dari aspek keselamatan awam dan nasional.
Pakar Undang-Undang, Prof Dr Muzaffar Syah Mallow berkata penggubalan Akta Kebebasan Maklumat itu perlu diteliti dan diperincikan terlebih dahulu selain mengambil masa secukupnya sebelum ia dilaksanakan.
“Jangan tergopoh-gapah dalam membuat sesuatu perkara.
Kesan jangka masa pendek dan jangka masa panjang terhadap sesuatu cadangan undang–undang yang ingin dilaksanakan perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya kepada Buletin TV3.
Muzaffar yang juga pensyarah di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), berkata banyak persoalan yang perlu dilontarkan kepada pihak kerajaan ketika proses penggubalan akta berkenaan terutama yang melibatkan kekangan serta halangan baharu yang mungkin timbul dalam akta berkenaan.
“Sejauh mana sesuatu maklumat boleh diakses oleh orang ramai? Apa jenis maklumat yang boleh dan tidak boleh diakses kepada orang ramai kelak?
“Saya yakin, tidak semua maklumat boleh atau patut dikongsi kepada rakyat kerana status sensitiviti maklumat berkenaan terutamanya pada aspek keselamatan awam dan keselamatan negara.
“Apa–apa hal pun, saya berharap satu kajian penuh dan terperinci terhadap pengubalan Akta Kebebasan Maklumat dapat dilakukan sebelum ianya dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha penting itu bagi mewujudkan parameter serta garis panduan jelas unutk memberi akses kepada orang awam mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.
Katanya perkara itu, antara yang dibincangkan dalam JKKTN yang dipengerusikannya semalam.
Mesyuarat mengambil maklum 18 resolusi daripada dua persidangan penyelidikan governans, integriti dan antirasuah peringkat kebangsaan tahun 2022 dan 2023.
Justeru kerajaan akan terus melaksanakan usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara, selaras hasrat membangunkan Malaysia Madani.