comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak wajar kaitkan video kempen turunkan harga petrol dengan penyasaran subsidi diesel – Anwar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah tidak wajar mengaitkan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kini dengan ucapan beliau untuk menurunkan harga petrol ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 16 tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, rakaman video ‘saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun’ yang dimainkan semula di media sosial sengaja mengelirukan rakyat, sedangkan ucapan beliau merujuk kepada harga minyak negara pada ketika itu yang lebih tinggi berbanding negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.

“Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80.

“Sekarang kos sudah bertambah RM2.05 di Arab Saudi dan kita RM2.95, minyak murah ini hanya di Brunei,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel bermula Isnin lalu dengan harga bahan api itu di stesen minyak di Semenanjung diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter.

Sementara itu, menurut Anwar, kadar inflasi Malaysia adalah rendah di ASEAN namun tidak menjamin tiada kenaikan harga barangan, meskipun beliau tidak inginkan perkara itu berlaku.

“Saya nak maklum kepada saudara, kita fikir betul-betul, sekarang saya Perdana Menteri, saya tidak mahu kenaikan. Kalau kata kadar inflasi rendah, memang rendah tapi maknanya apa? Harga barang naik sikit.

“Saya tidak kata barang tidak naik. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan kita (menyebut) Anwar kata barang tidak naik. Tak ada,” katanya.

Jelasnya, beliau turut turun ke bawah setiap minggu bagi menyelami kehidupan rakyat.

“Saya bukan duduk di kayangan. Saya turun ke bawah setiap Jumaat, saya singgah warung,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini