comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga akaun pencarum KWSP berusia 55 tahun ke bawah mulai 11 Mei


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP itu adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan mekanisme penstrukturan semula akaun KWSP itu, antara 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan sekali saja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli.

Kaedah pindahan bagi baki Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas ialah 10 daripada 30 (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel; lima daripada 30 (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan dan 15 daripada 30 (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Bagi baki Akaun Sejahtera kurang daripada RM3,000, pindahan akan dibuat seperti berikut iaitu Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Perbezaan dalam kaedah pengagihan itu adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali saja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan ini tidak boleh dibatalkan.

Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau ‘Self-Service Terminal’ yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Ahmad Zulqarnain menambah, inisiatif itu bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi adalah langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

Beliau berkata, dengan penambahbaikan itu, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin serta berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini