comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga daerah di Kelantan ada unsur nadir bumi bernilai RM125 bilion

Takiyuddin menunjukkan lokasi potensi unsur nadir bumi di Kelantan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU : Tiga daerah di Kelantan dikenal pasti mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2,562,500 tan dengan nilai RM125 bilion sekali gus menjadi potensi ekonomi baru di negeri ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, daerah yang dikenal pasti mempunyai potensi nadir bumi ialah Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang yang mengikut kajian awal ia bukan radio aktif.

Katanya, jumlah nadir yang paling banyak ditemui ialah di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar, manakala Stong Batu Melintang, Jeli dan Tanah Merah masing-masing 80,000 hektar dan 25,000 hektar.

“Selepas daripada itu, kerajaan negeri melalui pengerusi jawatankuasa yang terbabit akan membuat persiapan sekiranya sumber nadir bumi boleh dikeluarkan dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memberikan kerjasama dalam mengeluarkan permit serta khidmat nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan Kepada Menteri Besar Kelantan di di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, Stong Geopark menerima pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang pertama bagi Kelantan dan yang kelapan di Malaysia selepas Geopark Kebangsaan Sarawak Delta dan Geopark Kebangsaan Gombak / Ulu Langat.

“Dengan keluasan 2,132 kilometer persegi, Stong Geopark Kebangsaan ini menyimpan khazanah sejarah geologi yang amat unik dan penting khususnya dalam aspek biodiversiti, warisan sejarah serta kekayaan sumber budaya setempat.

“Antara keistimewaan lain yang terdapat di geopark ini ialah Air Terjun Jelawang yang terletak di Taman Hutan Negeri Stong, Dabong yang diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berharap, kerajaan Persekutuan dan negeri dapat menjalinkan kerjasama yang erat bagi memastikan geopark dengan baik selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan yang memberikan perhatian kepada kesinambungan tiga komponen utama dalam pembangunan geopark.

“Tiga komponen berkenaan ialah kepentingan pemuliharaan sumber asli khususnya sumber warisan geologi, pembangunan infrastruktur untuk pelancong dan juga aktiviti sosioekonomi yang menguntungkan menerusi pembabitan komuniti setempat,” – HARIAN METRO

Loading...
Terkini