Tumpuan :
Nasional

Tiga elemen utama audit mulai tahun depan

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Jabatan Audit Negara (JAN) meminta 1,856 badan termasuk syarikat milik kerajaan bersedia dengan semua dokumentasi untuk diaudit dengan tiga elemen utama mulai tahun hadapan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata tiga elemen berkenaan membabitkan penyata kewangan, objektif penubuhan syarikat dan tatakelola.

“Kalau selama ini selamba maksudnya tidur dalam keadaan yang tidak diganggu, tapi sekarang ini dan sememangnya semua syarikat-syarikat kerajaan perlu bersedia dengan dokumentasi, semua data-data yang berkaitan untuk diserahkan diaudit.

“Inilah ekosistem yang akan mula diperkenalkan dan bagi saya ini hanya untuk setahun dua sahaja tapi kalau digerakkan inysa-Allah ia akan menjadi satu (perkara) biasa, semuanya (dokumen dan data) perlu disediakan.

“Kita akan tengok tiga perkara, kita akan tengok penyata kewangan, kita akan tengok objektif penubuhan sesuatu syarikat itu dan yang ketiga ialah tatakelola. Bagaimana pembayaran bonus, bagamana pelantikan ahli Lembaga Pengarah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Forum Integriti: Tatakelola dan Tadbir Urus Beretika dari Sudut Ketua Audit Negara di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang melihat mekanisme sistem pengauditan yang terbaik menjelang tahun hadapan.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah tanggungjawab dan semua entiti-entiti 1,856 ini perlu bersedia, bukan semua pun yang besar, ada yang SPV (syarikat tujuan khas) ada yang ‘low-risk’ dan sebagainya, itu yang kita nak tengok sekarang.

“Yang paling penting ialah kesediaan semua entiti tersebut dengan dokumentasi diperlukan, kalau tak ada apa-apa isu, tak mengapa, ia hanya audit normal,” katanya.

Tegas beliau, JAN mahu memastikan sebarang ketakteraturan dielakkan dan jika perkara itu berlaku, ia akan diberi perhatian secara serius.

 

Loading...
Terkini