comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga Fasa Strategi Semikonduktor Nasional, sasar tarik RM500 bilion jumlah pelaburan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia, yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tersebut antara lima sasaran dalam NSS, yang akan meliputi tiga fasa.

Berucap pada Ekspo SEMICON Asia Tenggara, Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Fasa Satu NSS akan melibatkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang memberi tumpuan kepada Reka Bentuk Litar Bersepadu atau Intergrated Circuit (IC), Pembungkusan dan Peralatan Pembuatan, serta Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Pertumbuhan Syarikat, menjelang Fasa Dua, kami ingin menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia dalam Reka Bentuk dan Pembungkusan dengan pendapatan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, dan sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan hampir RM1 bilion (USD210 juta), serta mewujudkan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar menjelaskan, Fasa 1 melibatkan Pembinaan Asas dalam memanfaatkan kapasiti dan keupayaan sedia ada untuk menyokong pemodenan OSAT dengan langkah ke arah ‘Advanced Packaging’ serta memperluaskan kilang sedia ada di Malaysia.

Fasa 2 pula akan memberi fokus kepada ‘Moving to the Frontier’ dimana ia tertumpu kepada penghasilan reka bentuk, pengilangan, dan ujian cip logik.

Manakala, Fasa 3 ‘Innovating at the Frontier’ adalah untuk terus meningkatkan sokongan kepada pembangunan Syarikat Reka Bentuk Semikonduktor Malaysia bertaraf dunia, dan syarikat Peralatan Pengilangan.

Dalam masa yang sama menarik pembeli cip terkemuka seperti Apple, Huawei, Lenovo, dan syarikat-syarikat canggih lain untuk melakukan pengilangan di Malaysia.

Hadir sama di Ekspo ini adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Terdahulu pada April, Datuk Seri Anwar berkata MITI akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini.

Perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Malaysia menguasai 13 peratus daripada pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian untuk semikonduktor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini