comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga lelaki ragut rantai emas penjaja di Bukit Mertajam diburu

 

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang meragut rantai emas penjaja air kelapa di tepi jalan di Taman Impian Alma, di sini yang video kejadiannya turut tular melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata siasatan mendapati kejadian terbabit berlaku pada 11 pagi semalam setelah mengesan satu video menerusi laman X (Twitter) yang memaparkan seorang penjaja berusia 40-an diragut oleh individu bermotosikal.

Tangkap layar memaparkan tiga suspek yang menunggang dua motosikal melarikan diri selepas meragut rantai emas milik seorang peniaga air kelapa di Taman Impian Alma, Bukit Mertajam.

“Kejadian itu berlaku apabila tiga lelaki yang menaiki dua motosikal yang seorang daripadanya turun dari motosikal dan menghampiri penjaja itu sebelum berpura-pura untuk membeli air kelapa dan tiba-tiba meragut rantai leher mangsa.

“Ketiga-tiga suspek kemudiannya melarikan diri dengan dua motosikal itu dan mangsa bertindak mengejar mereka namun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan nombor motosikal digunakan adalah palsu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi seminit, memaparkan seorang daripada tiga suspek yang menaiki dua motosikal meragut seorang lelaki yang berniaga air kelapa di kawasan Alma di sini.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini