comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga mangsa bumbung runtuh dirawat di hospital, dibenar pulang

GEORGE TOWN: Tiga mangsa cedera dalam kejadian bumbung runtuh di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland, di sini malam tadi yang dirawat di hospital dibenarkan pulang.

Mangsa, Nur Jannah Motaleb, 8, Nur Batrisya Balqis Mohd Raffei, 10, dan Siti Syahirah Zulkipli, 13, kini berada di penempatan sementara di Pusat Serantau Pendidikan Sains dan Matematik (RECSAM) Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, di sini.

Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, berkata ketiga-tiga mangsa juga dilapor berada dalam keadaan baik.

“Mereka sudah dibenarkan keluar sekitar jam 8 pagi tadi selepas semalaman menerima rawatan dan pemerhatian di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Semuanya dalam keadaan baik cuma kemungkinan berada dalam keadaan sedikit trauma susulan kejadian itu, ” katanya ketika ditemui di wisma berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Yussof berkata, pada masa ini kesemua 30 penghuni perempuan itu ditempatkan sementara di RECSAM sebelum dipindahkan ke Wisma Yatim Laki-laki Islam Pulau Pinang di Air Itam.

“Ia mungkin ambil masa sedikit hari atau satu hingga dua hari lagi bagi memindahkan mereka ke sana kerana wisma berkenaan tidak mempunyai kelengkapan mencukupi.

“Wisma lelaki mempunyai dua blok namun hanya menempatkan seramai 20 penghuni, jadi kita perlu siapkan kelengkapan seperti katil dan sebagainya,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Yussof ditemui selepas menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Mohd Yussof mewakili wisma berkenaan turut menerima sumbangan berjumlah RM2,000 daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) yang disampaikan Timbalan Pengerusinya, Datin Noriza Yusoff.

Menurut Mohd Yussof, pada masa ini pihaknya akan menunggu sehingga siasatan terhadap kejadian itu selesai bagi dilakukan pembaikan terhadap struktur bangunan itu mengikut saranan jurutera. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini