Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-38 tahun 2023 (ME 38/2023) bagi tempoh 17 hingga 23 September lalu, iaitu masing-masing satu kes di Johor, Selangor dan Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata ia menjadikan keseluruhan 62 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 24 kematian bagi tempoh sama pada 2022.
“Pada ME 38/2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,310 kes berbanding 2,380 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 70 kes (2.9 peratus).
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 38/2023 adalah sebanyak 87,175 kes berbanding 42,084 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 45,091 (107.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, sebanyak 61 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu berkenaan berbanding 72 lokaliti hotspot minggu sebelumnya, dengan 44 lokaliti di Selangor, 11 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kelantan (3) serta masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Perak dan Sabah.
Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME 38/2023.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 169 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 2,457 sampel darah dan 226 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.
Jangkitan demam denggi terjadi setelah individu mendapat gigitan nyamuk Aedes betina yang membawa virus denggi.
Gejala demam denggi seperti demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot, tulang atau sendi, sakit kepala yang kuat dan sakit di belakang mata akan muncul di antara hari kelima hingga ketujuh setelah digigit nyamuk Aedes.
“Sekira terdapat gejala, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat.
Rawatan awal amat penting bagi mengelakkan pesakit mengalami komplikasi kegagalan organ, pendarahan renjatan atau kematian yang disebabkan oleh demam denggi.
“Selain itu, pesakit denggi digalakkan menggunakan bahan repelan nyamuk pada anggota badan yang terdedah agar tidak dapat menyebarkan virus denggi dari pesakit ke orang sekeliling,” katanya.