comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga maut nahas, balik dari makan ikan patin

Oleh: Fazli Ahmad

MARAN: Tiga pekerja ladang maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Besar Felda Jengka 17 dekat sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 6:15 petang selepas sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Bandar Pusat Jengka ke Temerloh dipercayai terbabas dan memasuki lorong kanan lalu bertembung dengan tiga motosikal dari arah bertentangan.

Menurutnya, akibat nahas, tiga penungang motosikal terbabit maut di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Fadhil Syah Sulaiman,19, Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, dari Felda Lepar Utara, Jengka dan Mohd Ridhwan Mahayadin, 35, dari Felda Sri Pagi Jengka.

“Semua mangsa adalah kenalan dan ketika kejadian pekerja ladang terbabit dalam perjalanan pulang dari Temerloh ke Felda Lepar Utara selepas makan ikan patin bandar terbabit.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca dari pemandu kereta jenis Peugeot dipercayai memandu secara hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu tidak mengalami kecederaan tetapi dilaporkan sesak nafas dan kini sedang dirawat di Hospital Jengka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mayat kesemua mangsa dihantar Bahagian Forensik, Hospital Jengka.

Siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan maut.

Loading...
Terkini