comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga pemimpin NGO Islam Malaysia disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas FBI

KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam berasingan dari negara ini diarah supaya tidak lagi terbabit dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Ia selaras arahan oleh Kementerian Luar susulan langkah Biro Penyiasatan Persekuutan (FBI) menyenaraikan mereka dalam Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC).

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari dalam reaksinya berkata penyenaraian nama tiga individu terbabit dalam senarai TSC tidak akan menjejaskan kerja dan operasi Ops Ihsan sama ada yang sedang atau akan dijalankan.

“Operasi Ops Ihsan hanya membabitkan NGO dan tiga individu ini tidak terbabit secara langsung pun dengan perjalanan Ops Ihsan, yang terbabit adalah organisasi (NGO) mereka,” katanya.

Foto: Ihsan Ops Ihsan/Facebook

Dalam pada itu Jismi melahirkan rasa kesal dengan pembocoran dan penularan surat berhubung arahan itu yang diterima pihaknya dari Kementerian Luar bahagian Asia Barat, kelmarin.

Katanya, ia suatu perkara yang tidak wajar berlaku kerana boleh memberi persepsi negatif terhadap tiga individu terbabit.

“Saya cuma kecewa kerana surat itu ditularkan sebab nama-mana individu itu dipamerkan.. ia melibatkan peribadi dan juga kerahsiaan identiti, maka ia akan memberi impak kepada individu berkenaan,” ujarnya.

Menurut Jismi, setakat ini pihaknya tidak tahu tahap siasatan oleh FBI ke atas ketiga-tiga individu terbabit.

“Kita pun tak tahu tahap siasatan FBI ini, mungkin disyaki sahaja. Mereka pun tidak tahu bagaimana mereka bertiga boleh termasuk dalam senarai itu. Saya memilih untuk bersangka baik sahaja,” katanya.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain antaranya Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Ia diilhamkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai satu kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Loading...
Terkini