
MELAKA: Tiga anggota polis direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah daripada seorang individu untuk melepaskan beberapa individu lain yang disyaki memiliki dadah jenis syabu.
Kenyataan SPRM memaklumkan perintah reman dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hasni terhadap tiga anggota berkenaan yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal.
“Kesemua suspek ditahan 7 malam semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Siasatan awal mendapati suspek meminta wang rasuah daripada seorang individu berjumlah RM800 .
Kejadian dikatakan berlaku di sebuah balai tempat mereka bertugas.
Siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 .
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.