comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga produk kosmetik ada racun berjadual

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiga produk kosmetik iaitu Toner Treatment EWSB, N Glow EWSB dan Glory Cosmetics Facecream dikesan mengandungi racun berjadual.

Justeru, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Toner Treatment EWSB dikenal pasti mengandungi hydroquinone dan tretinoin, N Glow EWSB dikesan mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate manakala Glory Cosmetics Facecream dikesan mengandungi merkuri,” katanya.

Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf, selain menyebabkan ruam, iritasi serta perubahan lain pada kulit.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate pula adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Antaranya, kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraviolet (UV) berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi meminta penjual dan pengedar menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik terbabit dengan serta-merta.

Tegasnya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Loading...
Terkini