comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga pusat hiburan di Kota Kinabalu diserbu, beroperasi tanpa lesen, lebih masa

Foto ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Tiga premis pusat hiburan di daerah ini dan Penampang diserbu polis selepas didapati menjalankan operasi tanpa lesen sah serta beroperasi melebihi masa yang ditetapkan, semalam dan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, polis turut menahan keseluruhan sembilan individu serta merampas pelbagai peralatan di dalam premis yang diserbu.

Katanya, serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan sepasukan pegawai dari Cawangan Siasatan Jenayah (D7) dan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Foto ihsan PDRM

“Bertindak dengan maklumat risikan, serbuan terhadap sebuah premis hiburan di Pusat Dagangan Donggongon, Penampang pada jam 1.30 pagi mendapati premis terbabit masih beroperasi dan terdapat 15 pelanggan termasuk empat wanita sedang berhibur di dalam premis berkenaan.

“Siasatan mendapati, premis berkenaan menjalankan operasi hiburan awam melebihi masa dan polis menahan dua pekerja serta tiga pelanggan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Turut dirampas beberapa barangan termasuk mixer, alat pembesar suara, mikrofon serta lesen perniagaan dan resit jualan minuman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, serbuan sebuah lagi premis di kawasan sama pada jam 4.36 pagi turut mengesan kegiatan beroperasi tanpa lesen sah.

Beliau berkata, tiada kegiatan penyalahgunaan dadah dikesan dalam kesemua premis yang diserbu berikutan hasil ujian urin terhadap 24 pekerja dan 64 pelanggan menunjukkan keputusan negatif.

“Semua suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Ordinan Hiburan Awam 1958,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini