comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga remaja sesat ketika mendaki Gunung Keriang

Jentera Bomba dan kenderaan polis di lokasi tiga remaja dilaporkan tersesat  di Gunung Keriang.

ALOR SETAR: Keseronokan lima remaja mendaki Gunung Keriang, di sini sejak pagi tadi mengundang padah apabila tiga daripada mereka dilaporkan tersesat.

Kesemua mereka dipercayai mendaki gunung berkenaan pada jam 9 pagi sebelum memasuki Gua Terus dan gagal mencari jalan keluar.

Bagaimanapun, dua daripada mereka yang berusia 19 tahun berjaya mencari jalan keluar dan turun ke kaki gunung untuk meminta bantuan.

Siti Norzawiyah Anuar, 19, berkata, terdahulu tiga rakannya iaitu dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 tahun dan remaja lelaki berusia 19 tahun itu mengutip batu kristal di gua itu untuk dibawa pulang.

Katanya, dia dan seorang lagi rakan lelaki yang berusia 16 tahun berada di hadapan tiga remaja terbabit.

“Bagaimanapun kami cuba mencari jalan keluar tetapi tidak menemui pintu keluar menyebabkan kami tersesat.

“Namun hanya kami berdua berjaya keluar dan menyangka mereka bertiga mengikut kami di belakang namun tidak menemui mereka menyebabkan kami cuba turun menggunakan trek laluan sehingga ke bawah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Siti Norzawiyah, dia sudah beberapa kali mendaki Gunung Keriang dan masuk ke Gua Terus itu tetapi tidak menyangka akan mengalami detik cemas itu.

Katanya, dia hanya memaklumkan kepada penduduk berhampiran berhubung kejadian itu pada jam 5 petang tadi sebelum mereka menghubungi Bomba.

“Sebelum itu, saya cuba menjerit memanggil nama mereka bertiga tetapi tidak bersahut.

“Saya cuba menghubungi telefon bimbit salah seorang mereka dan mereka memberitahu tidak tahu di mana berada sambil dimaklumkan terdengar gangguan di kawasan gua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.02 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Kanan Bomba (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria bersama 11 anggota dan sebuah jentera, EMRS dan tiga motosikal RIM tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

“Pihak kami menerima maklumat berhubung tiga remaja tersesat iaitu seorang lelaki dan dua remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Operasi mencari mereka sedang dilakukan ketika ini di Gunung Keriang dan anggota Bomba sedang mendaki gunung terbabit ketika ini.

“Operasi turut disertai polis dan orang awam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini