comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga sekawan diberkas lepas samun peniaga telefon bimbit

 

KUALA LUMPUR: Tiga sekawan direman lima hari bagi membantu siasatan kes samun seorang penjual telefon bimbit terpakai menggunakan pistol tiruan.

Kesemua mereka diberkas dalam dua serbuan berasingan di Hulu Langat, Selangor dan di Skudai, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 25 tahun, jam 4.45 pagi kelmarin.

“Mangsa berurusan dengan suspek terbabit menerusi platform media sosial membabitkan pembelian dua telefon jenis Samsung Galaxy S22 dan iPhone 12 Pro Max.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya menunjukkan suspek yang terlibat dalam kes samun bersenjata pada sidang media di IPD Dang Wangi. – FOTO NSTP

“Mereka mengadakan pertemuan dengan suspek ketiga pada 30 Mei jam 11.26 malam di Kampung Bharu sekitar Jalan Haji Sheikh Ahmad di mana mangsa datang bersama dua rakan.

“Suspek ketiga meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit berkenaan kononnya untuk dilihat terlebih dahulu namun terus dimasukkan ke dalam poket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Noor Dellhan berkata, mangsa yang terkejut cuba meminta bayaran seperti dijanjikan bagi kedua-dua telefon pintar berkenaan berjumlah hampir RM6,000.

Katanya, suspek terus mengacukan pistol tiruan ke arah mangsa dan dua rakannya sebelum melarikan diri ke arah sebuah motosikal yang sudah sedia menunggu berhampiran.

“Bertindak atas maklumat pihak polis berjaya mengesan suspek pertama menerusi nombor telefon yang digunakan untuk berurusan dengan mangsa berikutan didaftarkan atas kad pengenalannya sendiri.

“Serbuan pertama di sekitar Hulu Langat berjaya menahan dua suspek manakala seorang lagi suspek ditahan di sekitar Skudai, Johor semasa bersembunyi di rumah ibu saudaranya,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati suspek pertama membeli kad sim untuk menghubungi mangsa manakala suspek kedua bertindak mengatur pertemuan dalam talian dan suspek ketiga berjumpa mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian sama ada telefon bimbit berkenaan untuk dijual semula atau kegunaan sendiri.

Tambahnya, motosikal digunakan mereka untuk melarikan diri didaftarkan di bawah nama ibu kepada suspek ketiga.

“Semakan terhadap suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 26 tahun itu mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah.

“Dua suspek bekerja sebagai penghantar makanan dan pekerja restoran makanan segera manakala seorang lagi penganggur,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen395 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini