KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga melecur selepas bilik bacaan di tingkat 22, sebuah kondominium di Jalan Padang Tembak, di sini, terbakar Selasa lalu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 jam 4.04 pagi.
Komander Operasi, Mohd Azmin Mohd Zaidi berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dan BBP Jalan Tun Razak bersama jentera dengan kekuatan 16 anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah bilik bacaan di sebuah rumah di tingkat 22 yang musnah 80 peratus.
“Anggota menyelamatkan seramai lapan mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak dan empat dewasa.
“Terdapat tiga mangsa yang cedera iaitu bapa pemilik rumah rumah berusia 66 tahun yang melecur 20 peratus di tapak kaki.
“Anaknya yang juga pemilik rumah berusia 42 tahun cedera di belakang manakala cucu perempuan cedera di tangan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.