comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga sekeluarga termasuk ibu, bayi maut dalam kemalangan

Kemalangan membabitkan Perodua Viva dengan Toyota Avanza mengakibatkan tiga daripada enam sekeluarga termasuk ibu dan bayi berusia 9 bulan maut. – FOTO: Ihsan PDRM

SEMPORNA: Tiga sekeluarga termasuk ibu bersama bayi berusia sembilan bulan maut, manakala tiga lagi ahli keluarga mereka parah dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Semporna-Tawau, di sini, semalam.

Kemalangan kira-kira jam 4.50 petang itu membabitkan sebuah kereta Toyota Avanza dipandu seorang guru lelaki berumur 46 tahun bersama dua penumpang warga China dan Perodua Viva dinaiki enam sekeluarga terbabit.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata tiga mangsa terkorban itu disahkan adalah penumpang Perodua Viva yang dinaiki enam sekeluarga dari Kampung Simunul dekat sini.

Kemalangan membabitkan Perodua Viva dengan Toyota Avanza mengakibatkan tiga daripada enam sekeluarga termasuk ibu dan bayi berusia 9 bulan maut. – FOTO: Ihsan PDRM

“Mangsa yang maut ialah isteri kepada pemandu Perodua Viva berumur 24 tahun, bayi perempuan dan Ibu saudara mereka 66 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.

“Selain pemandu Perodua Viva (bapa) yang cedera parah di kepala dan patah rusuk kanan dua lagi anak mangsa masing-masing kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan sepuluh tahun turut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan dan patah paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut Mohd Farhan berkata, insiden berlaku ketika kereta Perodua Viva berkenaan dalam perjalanan pulang dari Tawau menuju ke kediaman mereka di sini, manakala Toyota Avanza dari arah Pekan Semporna menuju ke Tawau.

Menurutnya, siasatan awal mendapati setiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Viva dikatakan telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Avanza yang datang dari arah hadapan.

Katanya, akibat daripada perlanggaran itu kesemua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital menggunakan ambulan.

“Pemandu Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua lagi penumpang dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau untuk pulang ke negara asal.

“Bagaiamanapun, susulan kemalangan itu, guru terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Semporna bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini