comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga sekolah terjejas banjir dibuka kembali Ahad, calon SPM positif COVID-19 diasingkan

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong memberikan kata kata semangat kepada Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu ketika tinjauan hari pertama SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud hari ini.- Foto: NSTP

KUALA NERUS: Tiga sekolah yang masih ditutup akibat banjir di Dungun, akan kembali dibuka untuk sesi persekolahan selewat-lewatnya, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata, sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor dan SK Minda Talong.

Beliau berkata, proses pembersihan masih dijalankan di tiga sekolah berkenaan dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.

“Semua sekolah di seluruh negeri sudah kembali dibuka untuk sesi persekolahan kecuali tiga sekolah di Dungun itu yang masih diberi kelonggaran, cuti bencana.

Foto: NSTP

“PPD giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mencari kelengkapan sementara seperti kerusi dan meja untuk kegunaan murid.

“Kita jangka ia boleh dibuka selewat-lewatnya Ahad ini, dan kita juga masih mengenal pasti kerosakan di semua sekolah yang terjejas akibat banjir sebelum dirujuk kepada kementerian bagi kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau hari pertama SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Nerus di sini, hari ini.

Pada tahun ini, seramai 18,494 termasuk 105 calon berkeperluan khas (CBK) menduduki peperiksaan SPM di 176 pusat peperiksaan di Terengganu, bermula pagi ini.

FOTO2: DILAMPIR – FOTO NSTP

Sementara itu, calon SPM yang positif COVID-19 akan diasingkan di bilik isolasi bagi mengelak penularan virus itu.

Menurut Jelani, ia bagi memastikan semua calon yang menduduki Sijil SPM tahun ini berada dalam keadaan selamat serta selesa.

Beliau berkata, calon yang positif COVID-19 sebelum ini akan mengambil peperiksaan sesi kedua dan ketiga, namun semua calon perlu mengambil SPM secara serentak, pada tahun ini.

“Kalau dia Covid-19, dia tetap perlu hadir dan kita letakkan di bilik isolasi dan kita letak pengawas peperiksaan untuk memastikan dia dapat menjawab peperiksaan dengan selesa.

“Insya-Allah, kita harap tidak ada yang dijangkiti penyakit itu dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini