comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga terbunuh dalam kemalangan dua kereta

Foto hiasan

JERANTUT: Tiga terbunuh dan seorang lagi parah selepas dua kereta bertembung di Jalan Jerantut Maran, dekat Kampung Sungai Salan, di sini, lewat petang semalam.

Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jerantut.

Mangsa yang terbunuh di tempat kejadian dikenali Nur Harina Fatihah Syaifol, 21.

Manakala ibunya Norazlina Ismail, 44 dan bapa mangsa yang juga pemandu Perodua Bezza, Syaifol Bahari Idris, 50, meninggal dunia ketika dirawat.

Ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Jengka ke Jerantut dan bertembung dengan Perodua Myvi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 6:29 petang.

“Enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut bergegas ke lokasi kejadian.

‘Akibat kemalangan itu, dua mangsa tersepit dalam kereta dan salah seorang sudah meninggal dunia.

“Tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital tetapi dua meninggal dunia ketika sedang rawatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini