comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga termasuk dua pelanggan bank cedera, polis bantuan terlepas tembakan

 

JASIN: Dua wanita yang juga pelanggan sebuah bank dan seorang pengawal keselamatan cedera apabila seorang polis bantuan terlepas tembakan di sebuah bank di Bandar Jasin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 12.55 tengah hari.

Katanya, ketika kejadian polis bantuan berusia 59 tahun itu yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta mengunjungi bank terbabit atas urusan gaji pekerja.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek dipercayai tertarik picu senjata api yang dipegangnya.

“Susulan daripada itu tiga individu iaitu dua pelanggan dan pengawal keselamatan tercedera akibat terkena serpihan mozek. Mereka yang berusia 25 hingga 46 tahun cedera ringan iaitu luka kecil di bahagian paha serta betis kiri,” katanya.

Polis bantuan itu kini ditahan untuk diambil keterangan bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan.

“Senjatanya iaitu selaras senapang serta satu kelongsong peluru turut dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya.

Loading...
Terkini