comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiket bas dalam talian laluan JB ke Pantai Timur dan Utara habis dijual

JOHOR BAHRU: Tiket bas ekspres dalam talian bagi laluan Johor Bahru ke Pantai Timur dan Utara telah habis dijual.

Bagaimanapun tiket bagi perjalanan Johor Bahru ke Lembah Kelang, Melaka dan Negeri Sembilan masih berbaki 25 peratus.

Ketua Pegawai Operasi Larkin Sentral, Jefri Jaafar berkata, tiket bagi perjalanan ke pantai timur dan utara telah habis ditempah sejak beberapa hari lalu.

“Kita telah habis menjual tiket bagi  laluan ke pantai timur dan sebelah utara yang masih berbaki hanya untuk laluan Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan, itu pun hanya 25 peratus sahaja lagi,” jelasnya yang ditemui Terminal Bas Larkin, pagi tadi.

Katanya, bagi menampung permintaan disaat akhir, 80 operator bas akan memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menyediakan perkhidmatan bas ekspres tambahan sempena perayaan kali ini.

Larkin Sentral merekodkan kira-kira 600 trip perjalanan bas ekspres dari terminal itu ke seluruh semenanjung setiap hari.

Jumlah itu dijangka meningkat tiga kali ganda bermula Khamis ini, kerana jumlah penumpang dijangka meningkat kepada 9,000 orang setiap hari.

Tinjauan di Larkin Sentral pagi tadi mendapati orang ramai mula mendapatkan tiket bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sebahagian besar adalah pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta selepas pihak pengurusan pusat pengajian tinggi masing-masing memberi kelonggaran untuk mereka pulang lebih awal untuk menyambut Aidilfitri.

Begitu pun ramai dalam kalangan pekerja sektor swasta perlu menunggu saat akhir untuk pulang ke kampung halaman masing-masing kerana terikat dengan jadual kerja yang agak ketat.

Larkin Sentral mula memperkenalkan sistem pembelian tiket bas secara berpusat sejak Disember 2017.

Melalui sistem itu orang ramai boleh membeli tiket melalui kiosk layan diri, di kaunter mahupun dalam talian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini