comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiket Bas Laris Selepas SPR Umum Tarikh PRU-15

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Jualan tiket bas terutama dari Lembah Klang ke Kelantan laris dengan lebih 80 peratus sudah terjual selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh mengundi semalam.

Kebanyakan perantau akan pulang pada 16 hingga 18 November ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ejen jualan tiket bas ekspres, Izani Zakaria, 40, berkata sebaik pengumuman SPR pagi semalam, dia menerima banyak panggilan sehingga malam tadi yang bertanyakan tiket bas.

Beliau berkata, kebanyakan penumpang dari Lembah Klang membeli tiket bermula 16 November sehingga 18 November ini.

“Bayangkan pada 18 November, sebanyak 30 bas dari Lembah Klang ke Kelantan sudah hampir penuh dengan setiap bas kebanyakannya tinggal 10 hingga 15 kerusi saja.

“Saya tidak sangka sambutan begitu menggalakkan dan mungkin beberapa hari lagi tiket sudah kehabisan.

“Justeru, orang ramai yang mahu pulang untuk mengundi dinasihatkan membeli tiket lebih awal sebelum kehabisan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, SPR menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan pada 15 November.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata tarikh itu ditetapkan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, berkata sambutan terhadap jualan tiket memang meriah terutama dari Lembah Klang.

“Pada 18 November, hanya tinggal satu bas sahaja lagi yang masih mempunyai kekosongan, manakala sembilan buah bas lagi sudah penuh.

“Kita jangka mungkin hari ini akan habis dari Lembah Klang, namun dari negeri lain masih ada kekosongan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini