comscore
Tumpuan :
Nasional

TikTok pantau kandungan berbaur perkauman

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aplikasi media sosial, TikTok kini mengawasi video pendek yang dimuat naik pengguna di negara ini membabitkan kandungan berbaur perkauman.

Ini berikutan kegagalan pembentukan kerajaan yang sehingga kini masih tergantung tanpa sebarang keputusan selepas pilihan raya umum berakhir pada Sabtu lalu.

Situasi itu mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran bahawa keadaan itu mungkin boleh meningkatkan ketegangan antara kaum termasuk menerusi hantaran dan kandungan video di media sosial.

Pemilik TikTok, ByteDance, berkata pihaknya kini memantau rapat situasi itu dan akan terus memadamkan sebarang video dengan kandungan yang melanggar undang-undang negara ini.

ByteDance yang berpangkalan di China, memaklumkan sudah berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung pelanggaran undang-undang yang serius dan berulang yang berlaku terhadap garis panduan yang ditetapkan menjelang pilihan raya.

Terdapat laporan daripada pengguna media sosial berhubung banyak hantaran di TikTok mengenai rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur yang menyebabkan kira-kira 200 orang terbunuh, beberapa hari selepas parti pembangkang yang disokong pengundi Cina dijangka dapat membentuk kerajaan.

Menurut TikTok, mereka sudah memadamkan video yang ada kaitan dengan peristiwa 13 Mei daripada platform itu yang didapati melanggar garis panduan komuniti yang ditetapkan.

Ini kerana TikTok mengamalkan ‘zero tolerance’ (tidak akan bertoleransi) dengan sebarang kandungan yang mengandungi ucapan berunsur kebencian dan ‘extremism’ (fahaman pelampau).

Bagaimanapun, TikTok enggan mendedahkan jumlah siaran video yang sudah dipadamkan atau jumlah aduan yang sudah diterima setakat ini. – REUTERS

Loading...
Terkini