comscore
Tumpuan :
Nasional

Timor-Leste berhasrat kolaborasi dalam sektor pendidikan, kesihatan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Timor-Leste berhasrat untuk berkolaborasi dalam sektor pendidikan dan kesihatan yang dilihat berpotensi besar untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu disuarakan oleh rakan sejawatannya dari Timor-Leste, Mariano Assanami Sabino Lopes yang juga Menteri Hal Ehwal Sosial dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Komuniti dalam pertemuan selepas berlangsungnya Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Petaling Jaya di sini hari ini.

“Pada ruang masa yang ada, saya menerangkan tentang pelbagai inisiatif yang dilakukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) termasuk usaha memajukan desa, memangkin keterjaminan makanan negara, memperkasa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan pembangunan industri halal.

“Melihat usaha dan kejayaan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam membangunkan modal insan dan kesejahteraan rakyat, beliau menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dalam sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan Lopes turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia yang telah memberi banyak peluang pendidikan untuk anak-anak dari Timor-Leste selama ini.

“Semoga pertemuan ini dapat membawa kebaikan dan mewujudkan keakraban antara Malaysia dan Timor-Leste dalam pelbagai bidang serta meletakkan Malaysia sebagai contoh terbaik dan menjadi ikutan negara serantau,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini